Kajian kes ini juga berbentuk deskriptif dan explanatory iaitu meneroka bagaimana kaunselor menggunakan Terapi Realiti dan mengapa kaunselor menggunakan terapi berkenaan (Yin 2003). Tegas Yin, kajian kes berbentuk deskriptif pula cuba memberikan gambaran secara keseluruhan tentang fenomena yang ingin dikaji dalam konteks nya. Manakala kajian kes berbentuk penerangan (explanotary) pula cuba mempersembahkan data yang menerangkan hubungan sebab-akibat sesuatu fenomena itu berlaku, iaitu menerangkan apakah yang menyebabkan sesuatu kesan itu terhasil.

Kajian kes adalah salah satu daripada bentuk penyelidikan kaunseling yang terawal. Kebanyakan daripada penulisan William Glasser mengandungi banyak kes mengenai klien (Wubbolding 2000). Kajian kes sesuai menyiasat sesuatu fenomena dalam konteks sebenar dengan penggunaan pelbagai cara untuk memperoleh data (Yin 2003). Kaedah ini sesuai untuk menghuraikan satu atau lebih gabungan proses, hubungan, latar, sistem dan orang yang terlibat dalam kajian (Glensne & Peshkin 1992). Kajian kes meneliti bagaimana maklumat di kumpul mengenai sesuatu unit, individu, keluarga atau kumpulan yang berubah mengikut masa (Yin 2003; Bogdan & Biklen 2003). Kajian kes yang menggunakan pendekatan kualitatif bukan sahaja membolehkan pengkaji bertemu dengan peserta kajian, bahkan pengkaji dapat berinteraksi dengan peserta kajian dan boleh membuat pemerhatian dengan rasa empati memandangkan pengkaji menjadi alat kajian utama (Lincon & Guba 1985; Yin 2003).

Sumber : Ahmad Jazimin (2008)

0 comments:

Post a Comment